Senarai Blog Saya

Ahad, 15 Februari 2009

Hati Dengan Tentera Batinnya


Nafsu marah dan nafsu syahwat mungkin tunduk dengan sepenuhnya kepada pimpinan hati dan menjadi temannya yang baik di dalam pengembaraannya itu. Tetapi mungkin pula kedua-duanya mendurhaka dan menentang serta menawan hati dan memperhambakannya sehingga membawa kepada kebinasaannya dan terhalang pengembaraannya menuju ke arah kebahagiaan yang abadi.

Hati juga mempunyai tentera yang lain iaitu ilmu pengetahuan, hikmat dan tafakkur (renungan) yang patut sekali dipergunakannya, kerana ia ini termasuk di dalam golongan hizbu Allah (pengikut-pengikut Allah) berbeza daripada marah dan syahwat yang mana boleh termasuk di dalam golongan hizbu syaitan (pengikut-pengikut syaitan).

Kerugian pasti akan menimpa sesiapa yang membiarkan dirinya dikuasai oleh kemarahan syahwat, serta tidak mempergunakan ilmu pengetahuan dan tafakkur itu. Demikianlah halnya kebanyakan manusia yang meletakkan akal di bawah telunjuk syahwat sedangkan sepatutnya syahwat itu hendaklah berada di bawah telunjuk akal. Di sini dibawakan tiga contoh mengenai hal ini:

1. Nafsu di dalam jasmani manusia adalah seperti raja di dalam negeri. Maksud nafsu di sini ialah latifah (tenaga seni) yang telah disebutkan terdahulu itu. Badan ialah kerajaan nafsu, dunianya, tempat menetapnya dan bandarnya. Sementara anggota-anggota jasmani dan tenaganya adalah merukan tukang-tukang dan pekerja-perkerja, akal fikiran sebagai penasihat dan menteri yang bijaksana, nafsu syahwat sebagai hamba jahat yang membawa makanan dan bekalan ke negeri itu, nafsu marah adalah sebagai polis.

Hamba jahat pembawa bekalan itu adalah pendusta, penipu, pintar memutar belit dan berlagak sebagai penasihat tetapi nasihatnya mengandungi racun pembunuh. Kebiasaan hamba ini ialah penentang pendapat dan urusan menteri penasihat itu. Andainya pihak raja terus berpegang kepada menterinya, mendapatkan nasihat-nasihatnya, menolak nasihat yang salah dari hambanya yang jahat itu, dan pihak polis menjadikan hamba itu tunduk di bawah perintah bukan menjadi pemerintah, nescaya aman tenteramlah negeri itu. Bagitu juga dengan nafsu manusia, apabila ia mempergunakan akal, mencontoh perintah-perintahnya dan bekerjasama dengan nafsu marah dan nafsu syahwat untuk menundukkan salah satunya. Umpamanya bekerjasam dengan syahwat untuk meredakan api kemarahan yang meluap-luap dan kadang-kadang bekerjasama dengan nafsu marah untuk menundukkan syahwat serta memburuk-burukkan tuntutan-tuntutannya, dengan ini akan siimbanglah kekuatan akal dan baik pulak akhlaknya. Sesiapa yang menyimpang dari jalan ini maka ia adalah sama seperti orang yang difirmankan oleh Allah:

Maksudnya: "Adakah engkau lihat orang yang menjadikan nafsunya sebagai Tuhannya, dan Allah menyesatkannya menurut pengetahuannya".

[Surah Al Jathiah, 23)




Tiada ulasan: