Kebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan. Kebahagiaan selalunya bermula di rumah. Siapa yang mendapat pasangan hidup yang baik patut bersyukur kerana di situlah tanda kebahagiaannya. Isteri atau suami yang baik ini juga membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Itulah antara kebaikan di dunia buatnya.
Sabda Rasulullah SAW : "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negerinya sendiri." (Hadis Riwayat ad-Dailami dari Ali r.a.)
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga." (Hadis Riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah)
Islam telah menggariskan peranan suami dan isteri dengan jelas di mana suami mestilah bersedia untuk mentadbir rumah tangga dan isteri pula mestilah bersedia untuk mentaati perintah suami.
Syurga anak adalah di telapak kaki ibunya manakala syurga isteri adalah apabila taatkan suaminya. Taat di sini bererti patuh kepada perintah dan kehendak suami kecuali apabila suami menyuruh melakukan dosa. Ia menduduki tempat kedua selepas taat kepada Allah dan Rasul.
Ketaatan isteri berkait rapat dengan keperibadian suami di mana kuasa suami bukan terletak pada kekuatan fizikalnya tetapi terletak pada iman, ilmu dan kesabarannya. Dengan demikian barulah kepimpinannya menjadi lebih mantap dan dihormati isteri.
Kunci kerukunan rumah tangga adalah persefahaman antara suami isteri. Oleh itu Islam telah menyarankan bahawa dalam mencari isteri idaman hendaklah dari kalangan wanita yang mempunyai empat ciri seperti berketurunan baik, elok paras rupanya, berharta, dan kuat pegangan agamanya.
Namun yang perlu diutamakan adalah yang solehah (beriman) agar mudah untuk dididik dan beberapa masalah rumah tangga dapat dielakkan seperti isteri nusyuz dan sebagainya.
Setiap wanita Islam hendaklah menyedari tentang hak-haknya yang telah digariskan oleh syarak agar tidak berlaku kekeliruan dalam mentaati suami sehingga menjadi mangsa penderaan oleh suami yang tidak bertanggungjwab.
Oleh itu seorang isteri yang solehah adalah yang mencakupi erti kata wanita yang berilmu dan beriman. Dengan demikian rumah tangga akan sentiasa aman dan bahagia.
Namun ada juga orang yang Allah beri kebaikan walaupun tidak mendapat pasangan hidup yang soleh atau solehah. Buat mereka Allah kurniakan pahala sabar dalam mendidik atau sabar dalam menghadapi kerenah pasangannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan