Senarai Blog Saya

Khamis, 9 April 2009

Rahsia Bismillah


Marilah kita lihat lagi ke dalam Ummul Kitab yang merupakan seluruh intipati isi Al Quran dan Sunnah, demi untuk keselamatan manusia dunia dan Akhirat.
Ummul Kitab ataupun Al Fatehah itu, bagi siapa yang mengamalkannya akan mendapat kemenangan. Ia bukan sahaja surah pembuka Al Quran tetapi pengertian sebenarnya ialah 'Surah Kemenangan'.

Dengan maksud, kalau diamalkan, ia adalah penentu, pembawa kemenangan. Ia bukan surah pertama diturunkan tetapi isinya itu kalau difahami, dihayati, diamalkan dalam kehidupan dan perjuangan, maka ia boleh membawa kemenangan. Al Fatehah dimulai dengan: Maksudnya: "Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang." (Al Fatehah: 1)Di sini Tuhan sebut dengan nama-Nya, yang mana Tuhan itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Dua sifat ini adalah sifat Tuhan yang termasuk dalam Asmaul Husna yang 99.

Ertinya sifat-sifat Tuhan yang disebut dalam Asmaul Husna yang ada dalam Quran dan Hadis itu semuanya merupakan satu pakej yang memperlihatkan kebesaran, keagungan dan kehebatan Allah. Daripada keseluruhan nama-Nya itu, yang Tuhan tidak sebut sebenarnya lebih banyak tidak terhingga. Ertinya kebesaran dan keagungan Tuhan tidak ada kesudahan tetapi Tuhan hanya sebutkan 99. Apa yang peliknya, daripada 99 sifat Tuhan itu, Tuhan sangat menonjolkan sifat Rahman dan Rahim-Nya.

Sebab itu Hadis ada menyebut:Maksudnya: "Setiap perkara yang baik, kalau tidak dimulakan dengan Bismillahirrahmanir rahim maka terputuslah berkatnya."Tuhan tidak pilih sifat-sifatnya yang lain. Contohnya: Bismillahi Jabbar, Bismillahi Sobur atau Bismillahi Syakur. Mengapa Rahman dan Rahim yang dipilih? Daripada perkataan Bismillahirrahmanir rahim tersebut, bismi itu bukan sifat. Allah itu pula nama yang dikatakan Ismu Jalalah iaitu nama yang Maha Agung. Ia nama bagi satu Zat yang dikatakan Dialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi. Manakala Rahman dan Rahim itu sifat Allah. Yang dimasyhurkan dan dipopularkan ialah dua sifat-Nya iaitu Rahman dan Rahim. Dua sifat inilah yang sangat menonjol.

Tiada ulasan: